Januari 13, 2018

5 Perkara Penting Tentang Perjanjian Aset Perolehan Bersama

Nota ini adalah ringkasan tentang Perjanjian Aset Perolehan Bersama (juga dikenali sebagai Deklarasi Harta Sepencarian).


5 Perkara Penting Tentang Perjanjian Aset Perolehan Bersama


Kita biasa dengar Tuntutan Harta Sepencarian kan ? Ia boleh dilaksanakan dalam tiga keadaan iaitu tuntutan selepas perceraian, tuntutan semasa perkahwinan dan juga tuntutan selepas kematian. 

Dokumen Perjanjian Aset Perolehan Bersama ini memberi banyak manfaat kepada pasangan suami isteri sebelum berlaku;
  • Perceraian 
  • Poligami
  • Kematian

Sila baca dengan teliti dan fahami maklumat yang ingin disampaikan. Kami mengalu-alukan soalan dan pertanyaan. 

1. PENGAKUAN HAKMILIK


Kedua-dua pihak mengakui dan mengesahkan bahawa pada tarikh perjanjian dibuat Pihak Pertama dan Pihak Kedua adalah pemilik berdaftar ke atas aset yang dipersetujui.
  • Pihak Pertama - Suami
  • Pihak Kedua - Isteri

2. PENGAGIHAN ASET


Kedua-dua pihak juga dengan ini mengakui dan mengesahkan bahawa mulai tarikh Perjanjian ini dilaksanakan, aset yang dipersetujui adalah milik bersama Pihak Pertama dan Pihak Kedua mengikut peratusan yang telah dipersetujui bersama. 

Bagi memastikan pengagihan aset ini diiktiraf sah mengikut Hukum Syarak dan mengikat di sisi perundangan negara, kedua pihak mengakui dan mengesahkan bahawa beliau telah menyerahkan apa jua kepentingan yang beliau ada pada aset berkenaan sebelum Perjanjian ini.


3. KESAN PERJANJIAN


Perjanjian ini mengikat semua waris, wasi dan wakil diri kedua-dua pihak.

Perjanjian ini tidak boleh dibatalkan atau dipinda KECUALI menerusi satu Perjanjian pembatalan yang disetujui secara bertulis oleh kedua-dua pihak.

Sekiranya selepas Perjanjian ini dibuat, kedua-dua pihak secara bersama atau mana-mana pihak secara usahanya sendiri telah memperolehi aset lain dari semasa ke semasa, kedua-dua pihak masih boleh berunding untuk mewujudkan satu Perjanjian baru bagi membuat pindaan atau penambahan kepada Perjanjian ini.

Selagi Perjanjian ini masih lagi berkuatkuasa dan belum dipinda dengan persetujuan kedua-dua pihak secara bertulis, kedua-dua pihak tidak boleh membuat apa-apa tuntutan ke atas mana-mana aset yang bukan miliknya seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian ini. 


4. PENYELESAIAN PERTIKAIAN


Jika timbul apa-apa perselisihan atau pertikaian melibatkan pelaksanaan atau pentafsiran Perjanjian ini, pertikaian itu hendak-lah dirujuk kepada Hukum Syarak dan Mahkamah Syariah. 


5. AKUJANJI


Kedua pihak iaitu suami dan isteri dengan ini membuat akujanji akan melaksanakan apa jua tindakan dan menandatangi apa jua dokumen atau suratcara yang perlu atau yang dikehendaki oleh Hukum Syarak dan perundangan negara termasuk mendapat kebenaran mana-mana pihak sekiranya ada bebanan, untuk memastikan maksud Perjanjian ini tercapai dan dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Sekiranya berlaku kegagalan atau keengganan yang tidak wajar oleh mana-mana pihak untuk melaksanakan apa yang dinyatakan dalam Perjanjian,  pihak yang terkilan boleh mengambil apa jua tindakan undang-undang yang perlu bagi memastikan maksud Perjanjian tercapai dan dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Kedua pihak iaitu suami dan isteri bersetuju bahawa mereka atau wakil mereka akan memindah milik Harta yang dipersetujui mengikut peratusan yang telah dipersetujui sekiranya berlaku salah satu daripada peristiwa berikut, yang mana lebih awal;
  • Perceraian 
  • Poligami
  • Kematian

Semoga dengan sedikit perkongsian ilmu ini akan memberi pencerahan dan manfaat kepada pembaca tentang Perjanjian Aset Perolehan Bersama

Wallahu a'lam

2 ulasan:

Anak Pilah berkata...

Terima kasih tuan atas perkongsian yg sangat bermanfaat..Saleh P.15

Khaidir Zakaria berkata...

Alhamdulillah. Sila kongsikan artikel ini, moga ia memberi manfaat kepada kita semua.