August 12, 2018

Türkçe dersi di Putrajaya

Kelas Asas Bahasa Turki (Türkçe dersi) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya. 


Syukur alhamdulillah, Allah temukan aku dengan saudara Na’im Suhaimi di media social Facebook. Pertemuan itu telah menghasilkan kerjasama untuk menubuhkan Kelas Asas Bahasa Turki di Kelas Putrajaya Prihatin dengan sokongan dan kerjasama baik pihak Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya.

Tujuan penubuhan ini adalah untuk berkongsi ilmu dengan anak muda di kawasan sekitar khususnya Putrajaya dan Bangi. 

Kelas ini terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk menambah ilmu Bahasa.


Topik menyentuh bab perbualan harian. Buku latihan yang digunakan adalah İstanbul Yabancılar İçin Türkçe Ders Kitabı A1.

Selain Kelas Asas Bahasa Turki, di Kelas Putrajaya Prihatin juga ada menganjurkan Kelas Asas Bahasa Isyarat, ia diadakan sebulan sekali. 

Inisiatif dan objektif utama kelas ini ditubuhkan adalah untuk mewujudkan rasa sayangkan ilmu dalam pada masa yang sama dapat kita mengimarahkan Masjid. 

Moga ada keberkatan dan hikmah kepada peserta yang hadir menimba ilmu ini. 

Türkçe dersi di Putrajaya
Türkçe dersi di Putrajaya

Diantara perkataan yang telah kami belajar pada hari ini;


  • Merhaba / Hi 
  • Günaydın / Selamat pagi
  • Nasılsın? / Apakhabar?
  • Iyiyim / Saya sihat
  • Nerelisin? / Berasal dari mana?
  • Hoşça kal! / Selamat tinggal! / Bye
  • Güle güle / Selamat tinggal / Bye
  • Teşekkür ederim / Terima kasih
  • Senin adın ne? Siapa nama kamu?
  • Benim adım Khaidir Zakaria / Nama saya Khaidir Zakaria
  • Memnun oldum / Selamat berkenalan


Contoh Ayat Perbualan


Merhaba! Benim adim Khaidir Zakaria. Ben Malezyalıyım. Memnun oldum. 

(Hi, Nama saya Khaidir Zakaria, saya berasal dari Malaysia. Selamat berkenalan!

Siz nasılsınız?

(Apakhabar?)

Teşekkür, ederim iyiyim

(Terima kasih, saya sihat.)

Hingga kita bertemu lagi di Kelas Asas Bahasa Turki seterusnya. :)  Hoşça kal!

August 07, 2018

Hibah Hartanah Bercagar

PERBINCANGAN TENTANG HIBAH HARTANAH BERCAGAR

Kampung Sesapan Kelubi, 43700 Beranang, Selangor, Malaysia
Kampung Sesapan Kelubi, Beranang


1. Oleh sebab terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ tentang hibah hartanah bercagar, kita tidaklah boleh mendabik dada mengatakan bahawa hibah hartanah bercagar adalah sah sepenuhnya.

2. Dakwaan yang mengatakan bahawa hibah hartanah bercagar adalah sah sayugia dilapik dengan kenyataan bahawa ianya sah berdasarkan mazhab Maliki dan Hanafi.

3. Walau bagaimanapun hibah hartanah bercagar adalah tidak sah bagi mazhab Syafie, dan Hambali.

4. Perkara ini menjadi lebih kelabu apabila badan perundangan di negara kita juga lembab dalam menangani isu hibah ini.

5. Kita tiada contoh statut hibah untuk digunapakai di negara kita baik dalam bentuk akta mahupun enakmen.

6. Nampaknya pemimpin politik di negara kita lebih suka mencari glamour dalam isu perundangan Islam yang lain seperti Akta 355, dan pelaksanaan hukuman hudud dan qisas yang terlalu komplikated teknikalitinya.

7. Saya juga tertanya-tanya apalah sangat istimewanya hibah takaful sehingga ia disebut dalam statut secara jelas, walhal hibah hartanah bercagar juga tidak kurang pentingnya.

8. Pengkanunan undang-undang dalam hal ini patut menjadi prioriti pemimpin Islam di negara kita hari ini.

9. Kita juga tidak boleh berpegang kepada keputusan mahkamah syariah semata-mata kerana nature keputusan mahkamah syariah itu tidak mengikat hakim syarie yang lain.

10. Setiap hakim syarie bebas untuk berijtihad dalam setiap kes yang dibawa di hadapan mereka, tanpa terikat dengan keputusan hakim syarie yang lain.

11. Jadi, hakim syarie adalah selama-lamanya bebas sama ada mahu mengikut mazhab yang mana yang dirasakan lebih adil kepada pihak-pihak dalam memutuskan kes di hadapan mereka, selagi tiada statut yang mengikat tangan dan kaki mereka.

12. Tidak ada konsep judicial precedent di mahkamah syariah, tidak seperti yang diamalkan di mahkamah sivil.

13. Setakat ini, para mufti di negara kita juga belum mengeluarkan apa-apa fatwa mengenai hibah hartanah bercagar bagi panduan kita.

14. Saya tidak suka mengkritik para mufti yang saya hormati.

15. Jadi, saya menyokong sebarang usaha dari mana-mana pihak supaya boleh menerangkan kepada para mufti tentang peri pentingnya fatwa mengenai perkara ini.

16. Kalau permainan Pokemon-Go pun kita ada panduan, apatah lagi tentang hibah hartanah bercagar yang pastinya lebih dan teramat penting panduannya untuk kita.

17. Dari segi pemain industri dalam bidang ini, hanya Wasiyyah Shoppe Berhad sahaja yang terlebih berani mempromosikan produk hibah hartanah bercagar.

18. Alasan mereka mungkin untuk menggalakkan masyarakat muslim menggunakan produk hibah hartanah bercagar sebagai alternatif terbaik bagi solusi perancangan pusaka umat Islam.

19. Institusi-institusi lain seperti Amanah Raya Berhad, as-Salihin Trustee Berhad, MyAngkasa Amanah Berhad, dan lain-lain masih memilih untuk tidak menyediakan produk hibah hartanah bercagar.

20. Alasan mereka adalah mungkin kerana produk hibah hartanah bercagar masih mengandungi risiko untuk tidak disahkan oleh mahkamah syariah menjadikannya satu produk yang tidak berkuatkuasa.

21. Apa pun alasan mereka baik yang wujudkan produk, atau yang tidak wujudkan produk berkaitan hibah hartanah bercagar, saya amat menghormati keputusan panel-panel syarie syarikat-syarikat amanah gergasi ini.

22. Para peguam syarie sememangnya bebas untuk menyediakan dokumen tentang hibah hartanah bercagar.

23. Peguam syarie tidak perlu lancar apa-apa produk.

24. Perkhidmatan peguam syarie adalah berdasarkan arahan anakguam selepas dinasihati oleh peguam syarie.

25. Harapnya peguam syarie selepas ini boleh memberikan nasihat yang wajar kepada anakguam mereka tentang hibah hartanah bercagar.

26. Saya secara peribadi menyokong agar dokumentasi hibah hartanah bercagar ini digalakkan berdasarkan situasi masyarakat Islam akhir zaman sekarang yang boleh dikatakan tidak boleh lepas dari membuat hutang dalam membeli hartanah.

27. Dalam masa yang sama, masyarakat perlu dicelikkan tentang status khilaf ulama’, dan status perundangan di negara kita sebelum hibah hartanah bercagar didokumenkan supaya pemberi dan penerima hibah benar-benar faham akan kedudukan dan kesan hibah hartanah bercagar.

28. Dalam sesuatu isu yang khilaf, saya berpendapat, kita hendaklah bertindak dan memilih pandangan ulama’ yang bersesuaian dengan keadaan masa dan juga tempat kita agar dapat mengelakkan berlaku permasalahan terutama dalam masalah harta terbeku.

29. Mungkin juga pihak institusi kewangan sebagai pemegang cagaran boleh memperkenalkan satu mekanisma berbentuk keizinan kepada pemilik harta untuk membenarkan pemilik harta/pencagar membuat perancangan dan pengurusan ke atas hartanah bercagar melalui instrument hibah.

30. Para ahli akademik, dan pendakwah hendaklah terus berjihad dalam memberi kefahaman kepada masyarakat Islam tentang kepentingan perancangan dan pengurusan harta secara adil tanpa kepentingan mana-mana pihak.

31. Pihak-pihak yang mempunyai kuasa, gunakanlah kuasa yang ada bagi mencerahkan kekelabuan isu hibah hartanah bercagar ini.

32. Kelompangan undang-undang dalam isu hibah hartanah bercagar ini perlu diatasi sesegera mungkin.

AHMAD TERMIZI ABDULLAH (Penulis)

#hibahhartanahbercagar

Nota: Tuan Ahmad Termizi Abdullah adalah salah seorang rujukan saya dalam bab Pengurusan Harta Pusaka di Malaysia. Saya menghormati beliau. Post ini bertujuan untuk rekod dan rujukan pada masa hadapan.

July 11, 2018

Bagaimana Wasiat Terbatal

ADAKAH WASIAT AKAN TERBATAL SEKIRANYA WARIS TIDAK BERSETUJU DENGAN WASIAT?


Secara jelas yang perlu kita fahami, cara pengagihan harta pusaka melalui Wasiat masih tertakluk kepada Faraid. Memang ada sebahagian Pewasiat yang menyatakan hasrat pengagihan harta mereka dalam Wasiat dengan tidak mengikut faraid. Namun selepas Pewasiat meninggal dunia, waris-waris berhak untuk tidak bersetuju dengan cara pengagihan tersebut dan boleh menuntut hak mereka mengikut hukum faraid.

Walaubagaimanapun, ini tidak menjadikan Wasiat tersebut terbatal. Wasi yang dilantik dalam Wasiat tersebut masih perlu menjalankan tugasnya, dia masih perlu menguruskan hutang-piutang si mati dan mentadbir harta pusaka sehingga ke pengagihan kepada waris-waris. Cuma cara pengagihannya sahaja yang tak dapat dibuat mengikut hasrat Pewasiat, tetapi diagihkan mengikut hukum faraid.

Sebagai tambahan, apabila seseorang membuat Wasiat, dia memang tidak boleh lari daripada hukum faraid. Malahan di as-Salihin, setiap Wasiat akan terkandung artikel seperti yang dilampirkan di sini. Sekiranya ada Pewasiat yang meminta untuk memadam artikel ini daripada Wasiatnya, as-Salihin dengan secara tegasnya tidak akan mengikut permintaan tersebut.

Nota Tambahan:


Menurut Seksyen 12. Wasiat terbatal. (ENAKMEN WASIAT ORANG ISLAM (SELANGOR) 1999)

Sesuatu wasiat hendaklah menjadi batal jika-

(a) pewasiat menjadi seorang yang tak sempurna akal dan mati dalam keadaan tersebut;

(b) benefisiari mati sebelum pewasiat;

(c) sesuatu yang ditentukan atau manfaat wasiat tersebut telah musnah sebelum kematian pewasiat; dan

(d) pewasiat menarik balik wasiatnya.

contoh-surat-wasiat
Wasiat
BACA: Panduan Menyediakan Wasiat di as-Salihin Trustee Berhad

Perancangan harta pusaka adalah sebagai satu tanda keprihatinan anda terhadap nasib yang bakal menimpa ahli keluarga. Buat-lah dokumen wasiat bertulis agar memudahkan ahli waris kita menguruskan harta peninggalan kita di masa hadapan.

Kepada ahli waris, hormati-lah hasrat Pewasiat dalam pesanan dan hasrat beliau, usah persulitkan urusan agihan harta pusaka. Semoga ada keberkatan.

July 09, 2018

Antara Hibah dan Wasiat

"WASIAT BOLEH DITENTANG, HIBAH TAK BOLEH DITENTANG!"


Personally saya tak berapa setuju dengan penggunaan ayat di atas. Saya lebih selesa menggunakan ayat "Pembahagian dalam Wasiat masih tertakluk kepada faraid, pembahagian dalam Hibah tidak tertakluk kepada faraid."

Dokumen Hibah masih lagi sebuah dokumen yang tidak kebal daripada apa-apa ketidaksetujuan. Sekiranya ada 'dispute' dan ada mana-mana pihak berkepentingan yang tidak bersetuju dengan hibah tersebut, mereka masih boleh bawakan perkara tersebut untuk dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Antara Hibah dan Wasiat
Khidmat Menyediakan Wasiat &Hibah


Bezanya, sekiranya pihak berkepentingan (atau waris faraid) tidak bersetuju dengan pembahagian dalam Wasiat, mereka boleh nyatakan perkara tersebut kepada Wasi, dan Wasi perlu agihkan harta pusaka mengikut faraid.

Namun sekiranya mereka tidak bersetuju dengan Hibah, Wasi tidak boleh secara terus bertindak mengikut permintaan mereka. Kes tersebut perlu dibicarakan dan akan diputuskan di Mahkamah Syariah.

Di sini pentingnya pembikinan dokumen dibuat secara betul, dinyatakan secara jelas dan professional, serta Pemberi Hibah perlu mendapat nasihat yang tepat agar mereka memenuhi syarat-syarat hibah, untuk mengelakkan keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi perancangan mereka, sekiranya berlaku dispute nanti.

Penulis asal:
Mohd Hairulazlan Bin Ramlan

July 01, 2018

Khidmat Perancangan Harta Pusaka di Putrajaya

Dapatkan khidmat perancangan harta pusaka Islam as-Salihin Trustee Berhad di Putrajaya. 


Kepada pembaca blog ini dan kenalan saya yang memerlukan khidmat perancangan harta pusaka, kini boleh dapatkan khidmat ini di Putrajaya.

Bagi luar kawasan Putrajaya seperti Bandar Baru Bangi, Sepang, Cyberjaya, Nilai atau Bandar Seri Putra dan sekitarnya juga boleh menghubungi kami. Kami sedia ke tempat anda untuk memberikan khidmat nasihat tentang masalah dan jalan penyelesaian yang anda hadapi. InsyaAllah.

Khidmat Perancangan Harta Pusaka di Putrajaya
Putrajaya Mosque - Photo by Exo Des


Diantara khidmat yang disediakan adalah menyediakan dokumen bertulis Wasiat, Hibah, Perjanjian Aset Perolehan Bersama (untuk pasangan suami isteri sahaja), Pentadbiran Harta Pusaka Tidak Berwasiat, Amanah, dll.

BACA: Panduan Menyediakan Wasiat di as-Salihin Trustee Berhad

Oleh kerana saya menetap di Putrajaya, selalunya saya akan berurusan terus dengan ibu pejabat di Kelana Jaya.

Untuk urusan janji temu, boleh-lah hubungi saya melalui talian 011-32928711 atau WhatsApp/Telegram untuk maklum balas segera.


as-Salihin Trustee Berhad mempunyai dua cawangan iaitu; klik alamat untuk terus ke google maps.

No. 32A, Jalan Todak 2
Bandar Sunway
13700 Seberang Jaya
Pulau Pinang

dan di

No. 44-01 Jalan Setia Tropika 1/1
Taman Setia Tropika, Kempas
81200 Johor Bahru
Johor Darul Takzim

Ibu Pejabat 

101 - 301, Block A,
Glomac Business Centre,
No. 10 Jalan SS6/1, Kelana Jaya, 
47301 Petaling Jaya, Selangor

Kebiasaanya, lokasi perjumpaan adalah di pejabat ataupun di rumah client sekitar Putrajaya atau di Masjid Putra ataupun di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Sekiranya anda ada kenalan yang memerlukan khidmat kami khususnya jemaah haji yang akan berangkat dalam beberapa minggu ini, sila-lah share maklumat penting ini kepada mereka. Terima kasih.

June 28, 2018

Belanja Pengebumian Dalam Urusan Jenazah

Belanja pengembumian ialah belanja menguruskan jenazah si mati sehingga selamat dikebumikan bagi urusan yang wajib sahaja.


Ia boleh diambil daripada harta pusaka si mati dengan syarat seperti dibawah:

Belanja Mati  - Urusan Wajib

Peralatan Kapan
Keranda / Penutup liang lahad
Upah gali liang lahad
Upah mandi jenazah
Upah bawa jenazah / kereta jenazah

Sumber Perbelanjaan: Ia boleh diambil dari harta pusaka si mati. Wang sumbangan orang ramai yang menziarahi kematian, wang khairat kematian, sumbangan ikhlas dari sanak-saudara.

Bukan Urusan Wajib / Tidak boleh diambil daripada harta si mati TANPA kebenaran dan pengetahuan ahli waris.

Pemberian kepada orang yang solat jenazah sekiranya tidak diwasiatkan
Tahlil / Kenduri Arwah
Upah mengaji Al Quran
Pemberian kepada pembaca talqin
Membuat binaan di atas kubur (Kepok)

Sumber Perbelanjaan: Dengan syarat semua waris yang berhak bersetuju. Waris yang memberi persetujuan hendaklah cukup umur dan sempurna akal. Sekiranya terdapat waris yang belum dewasa atau tidak sempurna akal, bahagian mereka diasingkan.

Perancangan harta pusaka adalah sebagai satu tanda keprihatinan anda terhadap nasib yang bakal menimpa ahli keluarga. Buat-lah dokumen wasiat bertulis agar memudahkan ahli waris kita menguruskan harta peninggalan kita di masa hadapan.

BACA: Panduan Membuat Wasiat di as-Salihin Trustee Berhad

BACA: Rujukan Artikel Majalah Solusi isu No 6

nak-bebel
Nakbebel


Belanja pengebumian isteri, wajib ke atas suaminya walaupun isteri itu seorang yang kaya dan berharta!

Okay, untuk topik seterusnya, kami akan menyentuh bab menguruskan hutang simati selepas urusan belanja pengembumian dalam urusan jenazah selesai.

June 27, 2018

Kes Kematian Tanpa Wasiat

Proses Permohonan Harta Sepencarian Untuk Kes-Kes Kematian Tanpa Wasiat.


Video ini menceritakan tentang langkah-langkah yang perlu diambil oleh balu @ Pihak Yang Menuntut Harta Sepencarian, setelah kematian pasangannya, sehinggalah kepada menuntut harta pusaka secara keseluruhannya, iaitu;


  • Membuat permohonan Pengisytiharan Harta Sepencarian di Mahkamah Syariah.
  • Membuat permohonan Sijil Faraid di Mahkamah Syariah.
  • Mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir di institutsi-institusi berkaitan seperti Mahkamah Tinggi atau Pejabat Pusaka Kecil atau Amanah Raya Berhad.


Biasanya, tuntutan harta sepencarian dibuat sekiranya balu mahukan pembahagian yang lebih daripada hak faraid mereka. Bayangkan, jika semua prosedur di atas terpaksa dilalui oleh balu si mati, sekiranya mereka ingin menuntut hak harta sepencarian, dalam masa yang sama terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan sendiri dan anak-anak yang masih kecil, membayar hutang persendirian, dan mungkin perlu mendapatkan kerjasama daripada mertua atau ipar.

Dan untuk proses yang perlu dilalui, mereka juga perlu berurusan dengan 'Person In Charge' bagi semua pihak yang terlibat.

BACA: Contoh Dokumen Perjanjian Aset Perolehan Bersama

Perancangan harta pusaka adalah sebagai satu tanda keprihatinan anda terhadap nasib yang bakal menimpa ahli keluarga.

Daripada page as-Salihin Trustee Berhad.

Kes Kematian Tanpa Wasiat
Solat Jenazah



June 26, 2018

Setiap Kematian Akan Diwarisi Oleh 6 Orang Waris Utama

Mengapa perlu mengetahui waris yang berhak mewarisi?


  • Supaya hanya waris yang berhak sahaja yang akan mengurus dan membincangkan pembahagian harta pusaka. Campur tangan orang luar seperti ipar, menantu, rakan-rakan yang tidak diundang mungkin boleh menimbulkan salah faham, akhirnya akan menimbulkan pertelingkahan. Bagaimana pun, mereka boleh membantu sekiranya diperlukan. 
  • Agar waris yang berhak tidak ditinggalkan.
  • Agar waris-waris dapat memiliki atau memakan harta bersih, baik dan berkat serta mendapat keredhaan Allah swt.
  • Agar tidak ada orang merasa kecewa dan malu akibat kejahilan hukum faraid kerana menyangka beliau berhak mendapat pusaka sedangkan mengikut hukum, sebenarnya beliau tidak layak. 

Okay, sekarang mari kita kenali siapa 6 orang waris utama tu.

  • Ibu simati
  • Ayah simati
  • Suami
  • Isteri
  • Anak Lelaki
  • Anak Perempuan
Setiap Kematian Akan Diwarisi Oleh 6 Orang Waris Utama
Faraid: Waris Utama 

Anak angkat TIDAK termasuk dalam kategori ahli waris utama ya. So, jika nak berikan kepada anak angkat, kita perlu sediakan dokumen wasiat bertulis semasa kita masih hidup agar urusan agihan selepas kematian kita di permudahkan dan diuruskan oleh Wasi yang diamanahkan. 


Dan, jangan lupa ibu dan bapa simati berhak menerima pusaka walaupun si mati ada meninggalkan anak lelaki.

May 04, 2018

Kelas Asas Bahasa Isyarat Malaysia

Kelas Asas Bahasa Isyarat Malaysia di Kelas Putrajaya Prihatin, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya.


Alhamdulliah buat julung kalinya dengan kerjasama Kelab Komuniti Prihatin Putrajaya dan Malaysia Sign Laguange - Bahasa Isyarat Malaysia telah berjaya menganjurkan Kelas Asas Bahasa Isyarat Malaysia dan juga dikenali program SIGNON. 

Kelas in telah diadakan pada hari Khamis, 3 Mei 2018 bertempat di Aras 3, Dewan Solat Tambahan Lelaki, Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin Putrajaya . Seramai 100 orang perserta yang terdiri daripada orang dewasa dan kanak-kanak telah berdaftar untuk menyertai kelas ini.

Kelas ini telah berlangsung selama 2 jam bermula jam 8 malam sehingga 10 malam. Istimewanya kelas ini tidak dikenakan sebarang bayaran atau yuran ke atas perserta yang berdaftar. Kelas ini dikendalikan oleh 6 guru sukarelawan dari kumpulan SIGNON yang diketuai oleh Encik Mohd Armi Bin Rusli. 

Sekarang Encik Mohd Armi merupakan freelancer dan pengajar Bahasa Isyarat sepenuh masa. Sejak 2013 sampai sekarang, beliau mempunyai beratus-ratus orang pelajar, yang mengikuti kelas shortcut Asas Bahasa Isyarat, dengan 30 lebih pelajar yang belajar secara persendirian.

Bagi melancarkan lagi kelas ini, pihak penganjur telah mengasingkan kelas kepada dua kumpulan iaitu dewasa dan kanak-kanak. Majoriti peserta yang berdaftar adalah dari golongan kanak-kanak yang berumur dari tujuh tahun hingga sebelas tahun dan kebanyakan kanak-kanak ini adalah pelajar dari Kelab Komuniti Prihatin Putrajaya yang dikendalikan oleh Encik Khaidir Bin Zakaria. 

Bagi kelas kanak-kanak itu sendiri, pihak penganjur telah memecahkan kepada dua kumpulan di mana setiap kumpulan mempunyai satu guru yang mengajar bahasa isyarat ini sambil dibantu oleh beberapa guru sukarelawan dari Kelab Komuniti Prihatin Putrajaya. 

Kelas ini dipecahkan kepada dua kumpulan agar kanak-kanak tersebut dapat belajar dengan lebih jelas dan lebih memahami bahasa isyarat ini kerana kebanyakkan mereka ini baru pertama kali menyertai dan mengenali bahasa isyarat. 

Bagi kelas dewasa, peserta berdaftar kebanyakan datang dari sekitar Putrajaya dan ada juga datang dari Sarawak, Kelang, Shah Alam dan Kuala Lumpur. 

Kelas dewasa ini dikendalikan sendiri oleh Encik Mohd Armi dengan bantuan daripada tiga rakan sukarelawan dari kumpulan SIGNON.

Sepanjang kelas ini diadakan, para peserta telah diajar asas-asas dalam bahasa isyarat seperti abjad dan nombor dan juga perkataan-perkataan yang selalu digunakan oleh golongan istimewa ini dalam pergaulan seharian mereka. 

Dengan adanya kelas umpama ini, para peserta terutama kanak-kanak diberi pendedahan awal apa itu bahasa isyarat dan juga dapat belajar cara untuk berkomuikasi dengan golongan orang upaya. Bahasa isyarat ini bukan sahaja setakat untuk dipelajari oleh golongan istimewa malah ia turut boleh dipelajari oleh setiap lapisan masyarakat. 

Semua para peserta terutama kanak-kanak berasa seronok dapat peluang mempelajari bahasa isyarat ini.

Oleh kerana sambutan yang amat memberansangkan dan menggalakkan dari para peserta, pihak penganjur merancang untuk mengadakan kelas bahasa isyarat ini pada masa akan datang secara bersiri. Insya Allah. 

Gambar:

Khaidir Zakaria

sukarelawan-kelas-putrajaya-prihatin

teacher-rohaiza-azreen-putrajaya

peserta-kelas-asas-bahasa-isyarat-malaysia

sukarelawan-kelas-putrajaya-prihatin

peserta-kelas-asas-bahasa-isyarat-malaysia

Cikgu Armi Malaysian Sign Language

Pelajar Kelas Putrajaya Prihatin



Laporan ini disedikan oleh: Puan Siti Suriati.

Liputan dari Berita Harian oleh: Nurul Husna Mahmud (3 Julai, 2018)

March 12, 2018

Cari Khaidir Zakaria di Google Search

Bermusafir ke UniSZA dari Putrajaya untuk ilmu Faraid.

Selama (40 jam) iaitu 7 minggu ini saya akan berulang alik ke Pusat Pengajian Syariah, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UNISZA.

Penulis berpeluang menuntut ilmu dengan Tuan Haji Wan Abdul Halim bin Wan Harun (Perunding W. Halim. Lot 927-C, Tingkat Atas, Jalan Kuala Berang, Kg. Wakaf Beruas, 20050 Kuala Terengganu, Terengganu)

Alhamdulillah. Doakan yang baik-baik ya.  😎

IKLAN & Hebahan

Bismillah. Perlukan khidmat perancangan harta pusaka seperti Hibah, Faraid, Wasiat atau Deklarasi Harta Sepencarian?

Kami menyediakan khidmat merancang dan menguruskan dokumen Wasiat, Hibah dan Deklarasi Harta Sepencarian di Putrajaya, Bandar Seri Putra & Bandar Baru Bangi.

Call kami 011-3292 8711 sekarang, atau, cari 'Khaidir Zakaria' di Google Search untuk info lanjut.



istana kehakiman putrajaya




March 11, 2018

Latihan Ragbi di Taman Putra Perdana Putrajaya

Latihan ini diadakan pada setiap hujung minggu di Taman Putra Perdana, Putrajaya.

Pendedahan awal kepada pemain berusia 5 - 9 tahun. Rata-rata pemain adalah anak-anak komuniti Putrajaya.

Untuk mengikuti jadual aktiviti yang diadakan, sila follow facebook page Kelab Komuniti Prihatin Putrajaya. 

Akhirnya penulis berjaya juga pujuk Aisyah (5 tahun) berlatih bermain rugby bersama kakak (8 tahun) & abangnya (6 tahun). :) #startthemyoung



January 16, 2018

Cerita Pendek Cabaran Sebagai Perunding Harta Pusaka.

Kerjaya sebagai perunding harta pusaka ini bukan-lah tugasan yang mudah. Ada masanya menyeronokkan berjumpa dengan pelbagai jenis orang. Ada masanya, pening kepala kita dibuatnya. 😄 Ia pengalaman yang berharga dan tidak ramai orang dapat merasainya.


Cabaran Sebagai Perunding Harta Pusaka di Malaysia


Fact-finding. Bukan semua orang mahu bercerita tentang ahli keluarga mereka. Ada yang gembira, ada yang sedih, ada yang prihatin, ada yang buat tak tahu ajer dan ada juga yang mengelirukan! 

Ok, begini, ada banyak instrumen pengagihan harta yang boleh kita gunakan, malam ni aku nak cerita tentang instrumen Wasiat.

Wasiat adalah dokumen bertulis yang menyatakan hasrat agihan 1/3 harta kita kepada BUKAN ahli waris kita atau untuk urusan kebajikan seperti berwakaf. Ia juga adalah hasrat kita tentang bagaimana harta kita hendak diagih uruskan selepas kita tak ada. Selain itu, yang paling penting adalah senarai HUTANG2 kita yang perlu dijelaskan bila kita sudah tiada nanti. Dari sumber mana nak bayar hutang ? Siapa yang nak bayar ? Anak ? Isteri ? Emak ? Abah ?

Dalam dokumen itu-lah kita akan lantik Wasi iaitu pentadbir yang akan mewakili kita mengagihkan harta pusaka kita kepada ahli waris. Kalo tak ada pentadbir macam mana? Boleh jer lantik Pentadbir, tak ada masalah, cuma, masalah yang mungkin akan timbul adalah kesefahaman ahli waris untuk menguruskan harta pusaka simati. Selalunya ahli waris akan fikir berapa dia dapat dari harta simati, ada dia pikir berapa hutang si mati yang belum di bayor? ilekkkk ! Kalo ada pun jarang-jarang ataupun, tak tahu or buat2 tak tahu. 

Di dalam dokumen Wasiat tu, parts yang paling penting adalah HUTANG, ingat ya. (Ada 8 kandungan penting dalam dokumen tu, malam ni aku share 1 dulu). Aku selalu ingatkan diri aku agar hutang2 perlu dijelaskan segera. Begitu juga nasihat yang sama aku berikan kepada prospek dan client. Jika ada baki harta selepas agih kepada ahli waris, wakafkan-lah ia untuk saham akhirat yang akan membantu kita disana nanti. Insya Allah. 

Buat wasiat ni banyak manfaatnya, ia memudahkan urusan ahli waris dan juga urusan kita di sana hendaknya. Contoh banyak dalam drama TV tu, kerana tanah sekangkang kera, habis lebur porak peranda dibuatnya. Kalo dulu tak tahu, sekarang mike dah tahu lepas baca cerita pendek ni, so, moh ler kita start deraf wasiat kita yer. Paling tidak pun share-lah post ini dengan kawan-kawan. Sebab masih ramai lagi di luar sana yang tak tahu tentang pentingnya perancangan harta pusaka. 

HUTANG no #1 perlu dijelaskan. Ingat tu yeop, jangan kata teman tak khabor mike !

Ok-lah, itu sahaja untuk malam ini. 

Wallahu a'lam

January 14, 2018

Tujuh Perkara Yang Kita Perlu Lakukan Sebelum Mengerjakan Umrah

Kenapa tuan-tuan dan puan-puan nak pergi umrah?


"Tuan-tuan dan puan-puan perlu banyak bersyukur kerana Allah SWT telah memilih tuan-tuan dan puan-puan sebagai Tetamu-Nya."

"Lihat di luar sana, berapa ramai lagi orang Islam yang mempunyai kemampuan kewangan dan kesihatan tetapi masih belum lagi berkesempatan menunaikan umrah."

"Sebagai tetamu Allah SWT, marilah kita melengkapkan diri kita dengan persiapan yang secukupnya. Di dunia ini apabila kita dijemput sebagai tetamu orang kenamaan, kita akan membuat persiapan yang amat rapi. Maka sebagai tetamu Allah SWT pula, wajarlah persiapan kita lebih rapi, terutamanya persediaan ilmu dan amal ibadat sebelum mengerjakan umrah."

Tujuh Perkara Yang Kita Perlu Lakukan Sebelum Mengerjakan Umrah 1280x720
Penulis kacak berbaju biru


1) Cari Agensi Umrah Yang Berdaftar

Warga Kelana Jaya boleh datang ke Pejabat Andalusia Travel & Tours di Kelana Jaya (sederet Fariz Maju dan Restoran Jemari). Bagi warga Putrajaya pula, boleh ke Pejabat Andalusia & Tours terdekat iaitu di Bandar Baru Bangi. Atau, jika berdekatan dengan Kuala Lumpur, boleh terus ke Ibu Pejabat di Jalan Kampung Pandan. Alamat ada kami sertakan di bahagian bawah artikel ini.

Klik disini untuk senarai penuh agensi pengelola umrah yang berdaftar dengan Kerajaan Arab Saudi.


2) Dapatkan Maklumat Mengenai Pakej Umrah dan Buat Pilihan


  • Nak Umrah Ziarah / Umrah Terus / Umrah Ekonomi / Umrah Ramadan / Umrah Transit ?
  • Nak duduk di Hotel mana? Hotel dekat (50m) atau Hotel jauh sikit (350m - 690m jarak dari Masjidil Haram)
  • Penerbangan apa? (SAUDI / MALAYSIA AIRLINES / AIR ASIA X / lain-lain penerbangan untuk Umrah Ziarah atau Transit).
  • Pilih Tarikh yang dikehendaki.
  • Lihat sektor juga:  Masuk Jeddah/Mekah dahulu atau masuk Madinah?


3) Setelah Membuat Pilihan Tarikh, Buat Bayaran Deposit RM300/seorang dan Isi Borang

4) Terima Resit, Buku Panduan Umrah, Perlindungan Takaful Perjalanan dan Senarai Dokumen yang diperlukan Untuk Tujuan Dapatkan Visa Umrah.

5) Mula membuat persiapan dan persedian ilmu pengetahuan tentang Umrah dengan menghadiri kursus umrah yang disediakan secara mingguan dan PERCUMA di Masjid berdekatan.


6) Membuat persiapan fizikal dan mental, termasuk kelengkapan barangan yang nak di bawa ke sana dan juga persiapan dari segi kesihatan. 


7) Banyakkan bertaubat, bersedekah dan langsaikan hutang sebelum berangkat mengerjakan umrah. Dan, sediakan dokumen Wasiat bertulis untuk kemudahan ahli waris menguruskan urusan perninggalan harta pusaka.  

Semoga Allah SWT memudahkan segala urusan tuan-tuan dan puan-puan untuk perjalanan umrah kali ini dan jadikanlah sebab utama anda menunaikan umrah adalah semata-mata hanya kerana Allah untuk mencari keredhaan-Nya.

Sila hubungi pegawai Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd berhampiran anda untuk penerangan dan konsultansi PERCUMA.



Andalusia Travel & Tours Kuala Lumpur (Ibu Pejabat)
No 25, 27, 29, Jalan Kampung Pandan & Jalan 1/76 Desa Pandan, 55100 Kuala Lumpur Wilayah Persekutuan.
03-9283 1588 / 03-9283 7566

C-1-03A Jalan SS 6 / 5B, Dataran Glomac Kelana Jaya
03-7887 7345 / 03-7887 7346

No C-03-01, Plaza Paragon Point, Jalan Medan Pusat Bandar 5,  Bandar Baru Bangi, Selangor.
03-8920 9281 / 03-8920 8732

Wallahu a'lam

January 13, 2018

5 Perkara Penting Tentang Perjanjian Aset Perolehan Bersama

Nota ini adalah ringkasan tentang Perjanjian Aset Perolehan Bersama (juga dikenali sebagai Deklarasi Harta Sepencarian).


5 Perkara Penting Tentang Perjanjian Aset Perolehan Bersama


Kita biasa dengar Tuntutan Harta Sepencarian kan ? Ia boleh dilaksanakan dalam tiga keadaan iaitu tuntutan selepas perceraian, tuntutan semasa perkahwinan dan juga tuntutan selepas kematian. 

Dokumen Perjanjian Aset Perolehan Bersama ini memberi banyak manfaat kepada pasangan suami isteri sebelum berlaku;
  • Perceraian 
  • Poligami
  • Kematian

Sila baca dengan teliti dan fahami maklumat yang ingin disampaikan. Kami mengalu-alukan soalan dan pertanyaan. 

1. PENGAKUAN HAKMILIK


Kedua-dua pihak mengakui dan mengesahkan bahawa pada tarikh perjanjian dibuat Pihak Pertama dan Pihak Kedua adalah pemilik berdaftar ke atas aset yang dipersetujui.
  • Pihak Pertama - Suami
  • Pihak Kedua - Isteri

2. PENGAGIHAN ASET


Kedua-dua pihak juga dengan ini mengakui dan mengesahkan bahawa mulai tarikh Perjanjian ini dilaksanakan, aset yang dipersetujui adalah milik bersama Pihak Pertama dan Pihak Kedua mengikut peratusan yang telah dipersetujui bersama. 

Bagi memastikan pengagihan aset ini diiktiraf sah mengikut Hukum Syarak dan mengikat di sisi perundangan negara, kedua pihak mengakui dan mengesahkan bahawa beliau telah menyerahkan apa jua kepentingan yang beliau ada pada aset berkenaan sebelum Perjanjian ini.


3. KESAN PERJANJIAN


Perjanjian ini mengikat semua waris, wasi dan wakil diri kedua-dua pihak.

Perjanjian ini tidak boleh dibatalkan atau dipinda KECUALI menerusi satu Perjanjian pembatalan yang disetujui secara bertulis oleh kedua-dua pihak.

Sekiranya selepas Perjanjian ini dibuat, kedua-dua pihak secara bersama atau mana-mana pihak secara usahanya sendiri telah memperolehi aset lain dari semasa ke semasa, kedua-dua pihak masih boleh berunding untuk mewujudkan satu Perjanjian baru bagi membuat pindaan atau penambahan kepada Perjanjian ini.

Selagi Perjanjian ini masih lagi berkuatkuasa dan belum dipinda dengan persetujuan kedua-dua pihak secara bertulis, kedua-dua pihak tidak boleh membuat apa-apa tuntutan ke atas mana-mana aset yang bukan miliknya seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian ini. 


4. PENYELESAIAN PERTIKAIAN


Jika timbul apa-apa perselisihan atau pertikaian melibatkan pelaksanaan atau pentafsiran Perjanjian ini, pertikaian itu hendak-lah dirujuk kepada Hukum Syarak dan Mahkamah Syariah. 


5. AKUJANJI


Kedua pihak iaitu suami dan isteri dengan ini membuat akujanji akan melaksanakan apa jua tindakan dan menandatangi apa jua dokumen atau suratcara yang perlu atau yang dikehendaki oleh Hukum Syarak dan perundangan negara termasuk mendapat kebenaran mana-mana pihak sekiranya ada bebanan, untuk memastikan maksud Perjanjian ini tercapai dan dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Sekiranya berlaku kegagalan atau keengganan yang tidak wajar oleh mana-mana pihak untuk melaksanakan apa yang dinyatakan dalam Perjanjian,  pihak yang terkilan boleh mengambil apa jua tindakan undang-undang yang perlu bagi memastikan maksud Perjanjian tercapai dan dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Kedua pihak iaitu suami dan isteri bersetuju bahawa mereka atau wakil mereka akan memindah milik Harta yang dipersetujui mengikut peratusan yang telah dipersetujui sekiranya berlaku salah satu daripada peristiwa berikut, yang mana lebih awal;
  • Perceraian 
  • Poligami
  • Kematian

Semoga dengan sedikit perkongsian ilmu ini akan memberi pencerahan dan manfaat kepada pembaca tentang Perjanjian Aset Perolehan Bersama

Wallahu a'lam

January 12, 2018

Kursus Intensif Faraid bersama Wan Abdul Halim

Kursus Intensif Faraid bersama Tuan Haji Wan Abdul Halim bin Wan Harun di Universiti Sultan Zainal Abidin.


Marilah bersama-sama menyertai KURSUS INTENSIF FARAID yang akan dikendalikan oleh Tuan Haji Wan Abdul Halim bin W Harun, tokoh yang sangat berpengalaman hampir 30 tahun sebagai pegawai Pembahagian Harta Pusaka di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan. Juga merupakan tenaga pengajar dalam bidang faraid kepada hakim-hakim Mahkamah Syariah seluruh negara dan penceramah jemputan di jabatan kerajaan dan swasta berkaitan pengurusan harta pusaka di seluruh negara.


Segala mutiara ilmu serta pengalaman beliau akan dicurahkan dalam kursus ini. Pelbagai kes-kes pusaka yang menarik akan dibincangkan dalam kursus ini. 


Kursus ini sangat sesesuai untuk peguam syarie, perunding harta pusaka, perunding takaful, penasihat kewangan, guru agama, pelajar dan individu yang berminat untuk mengetahui pengurusan harta pusaka di Malaysia. 


Sebarang pertanyaan berkaitan Kursus Intensif Faraid dan pendaftaran sila hubungi Dr Wan Khairul Firdaus di talian 013-283 5651. Tempat adalah terhad.




Majlis Ilmu Faraid bersama Wan Abdul Halim di Universiti Sultan Zainal Abidin

Sila klik poster diatas untuk gambar yang lebih jelas. 

January 04, 2018

Sukarelawan di Kelas Putrajaya Prihatin

Kembali Berkhidmat di Kelas Putrajaya Prihatin


Beberapa hari lagi aku akan kembali berkhidmat pada setiap malam rabu dan khamis berkongsi ilmu Matematik di Kelas Putrajaya Prihatin yang bertempat di Aras 3, Dewan Solat Lelaki Tambahan, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. 

Sukarelawan Kelas Putrajaya Prihatin
Kelas Putrajaya Prihatin


Kelas ini aku dan beberapa orang rakan sukarelawan mula tubuhkan pada April 2016. Kami bukan guru sekolah by profession. Kami mengajar berdasarkan pengalaman mahal yang kami belajar sepanjang jatuh bangun mengharungi cabaran masa kini. 

Di Kelas Putrajaya Prihatin kami menerapkan kemahiran insaniah / soft skills

Kami mengajar secara PERCUMA. Dana kami collect dari duit poket kami dan juga secara crowd-funding, sebahagianya pula dibantu oleh ibubapa pelajar, rakan komuniti dan juga kenalan FB Kelab Komuniti Prihatin Putrajaya.

24hb ni kelas bermula, moh ler yong dan yeop bersama kami berkongsi ilmu dengan anak-anak yang bakal menjadi pemimpin hebat pada masa akan datang ! Insya Allah. :)


Bagaimana untuk sertai Kelas Putrajaya Prihatin ini ?
Setiap peserta yang ingin mengikuti Kelas Putrajaya Prihatin perlu melalui ujian saringan 4M iaitu; Membaca, Menulis, Mengira & Melukis.
Tujuan ujian saringan ini adalah untuk mengenal pasti tahap kemahiran peserta.
Apa kritiria yang melayakkan anak saya untuk mengikuti Kelas Putrajaya Prihatin 2018 ?
Selain dari faktor 4M diatas, ada beberapa faktor yang lain yang kami ambil kira. Diantaranya adalah pendapatan seisi rumah, attitude peserta, attitude ibubapa dan juga semangat mahu belajar oleh peserta.
Kami juga menghadkan pengambilan peserta kerana untuk menjaga kualiti dan fokus kepada pelajar. 
Buat masa ini hanya (2) mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu dan Matematik untuk tahun 1 - tahun 5 yang kami wujudkan.
Tujuan asal kelas ini diwujudkan adalah untuk memberi khidmat berkongsi ilmu secara percuma. Ya, percuma. Memang sengaja kami tidak mewar-warkan tentang kelas ini adalah percuma since April 2016.  
Namun begitu, setelah melalui beberapa fasa pengalaman, kami (baca: rakan sukarelawan) bersepakat untuk mengalakkan setiap peserta yang terpilih tahun ini membuat sumbangan sebanyak RM30 - RM 50 sebulan iaitu 8 kali kelas bagi membiayai kos peralatan pembelajaran dan pengurusan. Kos yang lain akan ditanggung secara crowd-funding.


Kami memerlukan lebih ramai anak muda untuk berkhidmat dalam aktiviti sukarelawan. Kepada pelajar sekolah menengah sekitar Putrajaya tu, jom lah sertai rakan sukarelawan Kelas Putrajaya Prihatin. Marilah bersama kami, kita bersatu mendidik anak bangsa, moga dengan sedikit usaha untuk saham akhirat ini kita semua selamat dunia-akhirat.

Kepada mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian dari ahli keluarga rakan sukarelawan Kelas Putrajaya Prihatin, sila lawat FB Kelab Komuniti Prihatin Putrajaya untuk maklumat aktiviti.

Wallahu a'lam

January 01, 2018

13 Rabiulakhir 1439H

Hari ini 13 Rabiulakhir 1439H.

Banyak lagi perkara kebaikan yang belum kita lakukan, entah sempat atau tidak.

Dosa tadi, semalam dan sebelum tu tak tau-lah dah berapa banyak.

Mari-lah kita berpesan-pesan dalam membuat kebaikan. Kerana mati itu pasti !

Ya Allah perbaikilah hati kami dan amalan kami. Sucikanlah hati kami dari segala kebencian, sifat iri, dengki dan sombong. Aamin.

mati-pasti


P/S: Mesej ini di set secara auto publish, penulis mungkin sudah tidur awal atau berada di alam lain. :)

Bersyukur-lah

Setiap ujian kesusahan dan kesenangan itu ada hikmahnya. Ada orang rejekinya murah dengan kemewahan harta seperti rumah besar, kereta berteknologi baru, isteri yang cantik, suami kacak berduit tinggi lampai, keluarganya bahagia tetapi belum dikurniakan zuriat, jauh di sudut hati sunyi.

Sebaliknya pula, rejekinya sederhana sahaja, elok dan cantik keluarga bahagia anak-anaknya sihat belaka.

Ada juga yang tiada itu-ini, diuji pula dengan pelbagai dugaan. Bersabar-lah, Allah tidak pernah sesaat pun meninggalkan hambaNya. Ada bahagian untuk mu dan kita semua disana, neraka atau syurga.

Bersyukur-lah. Berdoa dan pinta-lah hanya pada Allah usah di pujuk rayu pada si Mat, Ah Meng dan Ravi atau John si penipu itu !